KERIS
Keris merupakan salah satu senjata orang-orang Melayu. Permainan keris biasa diajarkan di dalam kebanyakan silat. Tanpa mengetahui permainan keris, tak lengkaplah ilmu kependekaran seseorang itu.
Antara keris yang terkenal hingga kini ialah seperti Keris Taming Sari dan Nogo Sorso yang mempunyai luk 13 dan matanya berbentuk ular naga yang diperbuat daripada emas. Untuk menentukan jenis keris yang terdapat di kepulauan melayu adalah dari pemerhatian keatas bentuknya iaitu hulu, sarung dan bentuk matanya.
Dari bentuk inilah keris boleh dibahagikan kepada 7 jenis:
-Keris Semenanjung atau Utara
-Keris Pekakak
-Keris Jawa
-Keris Sumatera
-Keris Bali dan Madura
-Keris Bugis
-Keris Sundang atau Solok
Bagi menempa sebilah keris sekurang-kurangnya hendaklah dari 2 jenis besi yang berlainan dan 7 jenis besi bagi keris yang baik. Adalah dipercayai keris kepunyaan Laksamana Hang Tuah diperbuat daripada 20 jenis besi yang diambil dari tempat yang berlainan.
Kebanyakan keris zaman dahulu adalah berbentuk 'peribadi' yang diperbuat daripada tangan iaitu 'picit'. Tukang besi terlebih dahulu akan mengenal pasti tuan empunya dan ayat-ayat al-Quran digunakan, selain ayat tertentu yang bersesuaian dengan pemiliknya.
Panjang atau lebar mata sebilah keris bergantung kepada jenis sama ada dilurus atau berluk-luk. Jumlah luk keris adalah dalam angka ganjil. Ulu keris diperbuat daripada kayu, tanduk atau tulang. Ulu keris akan diukir cantik dari pelbagai rupa dan bentuk mengikut kehendak pemiliknya. Ada juga hulu keris diperbuat dari emas. Pada kurun ke-15, Sultan Mahmud Shah telah mengistiharkan hanya kerabat diraja sahaja boleh menggunakan keris berulukan em
as.
Ulu keris jenis ini dinamakan :
-Keris Ulu Kencana
-Keris Harubi
-Keris Marubi
-Keris Bawang Sebongkol
Sarung keris juga mempunyai nama-nama tertentu iaitu:
-sampir
-sarong
-buntut
Sampir diperbuat daripada kayu keras yang cantik dan adakala juga diperbuat daripada gading. Sampir merupakan bahagian yang tebal serta lebar dan mempunyai bentuk jalur bujur dan jalur bulat.
Sarong pula berbentuk panjang lurus dan ada pula yang meruncing sedikit ke sebelah bahagian hujungnya yang diperbuat dari kayu atau gading.
Bahagian buntut pula diperbuat dari kayu, tulang, tanduk, gading ataupun logam dan mempunyai empat jenis bentuk yang berlainan iaitu bulat tempurung, bujur sirih, bujur sangkar dan mata kapak.
Melihat bentuk-bentuk tertentu pada keris menampakkan satu nilai seni dan budaya yag tinggi masa lampau dan zamannya. Bagi seorang ahli silat, keris itu lambang seorang pendekar dan lambang kekuatan melayu .
Tumbuk Lada
Tumbuk Lada berasal dari Sumatera yang juga dikenali sebagai Tumbuk Lading. Ianya dipakai sebagai senjata adat istiadat bagi ketua-ketua bawahan bagi Negiri Sembilan dan Minangkabau. Keris pula hanya dikhaskan untuk kerabat diraja dan golongan bangsawan.
Mengapa dipanggil Tumbuk Lada? Pada tahun 1936, seorang tukang kebun menyatakan ianya dikenali begitu kerana hulunya berbentuk alu lesung batu bagi menumbuk lada/cabai.
Yang lainnya percaya bahawa kesan tikaman yang membawa kesakian yang amat sangat seperti pedasnya cabai. Penjelasan yang lainnya tidak begitu realistik.
Menurut Tuan Haji Sultan Menan dari Kg Baru, Kuala Lumpur, Tumbuk Lada biasanya digunakan untuk menumbuk atau menikam pada dada mangsa.
Pada awalnya dikenali sebagai tumbuk dada, yang mana akhirnya dikenali sebagai Tumbuk Lada.
Tumbuk Lada mudah dikenali melalui hulu, mata dan sarungnya yang mana mempunyai bentuk yang berbeza dari senjata lain . Matanya nipis dan melengkung dimana ketajaman hanya pada sebelah saja dan sebelah lagi rata, yang dikenali sebagai sebelah baung.
Matanya juga lebar pada mula dan menirus dihujungnya.
Kepanjangan tumbuk lada diantara 8 1/2 ke 11 inci. Matanya nipis dan berat boleh juga digunakan untuk memotong. Bagaimanapun tumbuk lada direkabentuk semata-mata sebagai senjata menikam.
Hulunya sama ada dibuat dari kayu atau tanduk kerbau dan lembu. Masa sekarang hulunya berbentuk bujur telur dan diukir dengan cantik. Bagi Tumbuk Lada yang berkualiti dibuat berhulukan saduran perak dan berukiran awan timbul dan dawai pintal. Hujung hulu dihiaskan dengan logam berharga. Hulu dari tanduk tidak semestinya bersadur perak tetapi diukir dengan corak yang rumit dan cantik.
Sarungnya pula diperbuat dari kayu yang terdiri dari 3 bahagian. Sarung yang diperbuat dari tanduk ( bahagian atas) dan kayu (bahagian tengah dan hujung). Bahagian kayu adalah saduran perak dan diukur dengan bunga awan timbul. Gelang-gelang perak pula ditempatkan di antara bahagian saduran perak. Bahagian atas atau bahagian tanduk juga diukir dengan rekabentuk rendang.
Sewar
Mata Sewar mempunyai persamaan dengan Tumbuk Lada . Cuma perbezaan dari segi hulu dan sarungnya sahaja. Senjata ini juga berasal dari Sumatera. Bilah matanya sepanjang 7 1/2 inci dan 5/8 inci lebar. Ianya juga mempunyai sarung, dimana hulunya diperbuat dari gading dan bahagian hujung atau tapaknya diletakkan kepingan perak. Sarungnya juga dihiaskan dengan kepingan perak yang membahagikan sarung tersebut kepada 3 bahagian. Diukir dengan bunga awan timbul pada bahagian tengah hingga ke hujung.
Rencong Aceh
Walaupun mempunyai persamaan dengan Tumbuk Lada, tetapi perbezaan pada rekabentuk tajam pada hulu dan sarungnya. Ianya berasal dari Aceh, Sumetera Utara.
Seperti juga keris dalam negeri-negeri Melayu, Rencong Aceh merupakan sebahagian daripada pakaian adat istiadat Aceh.
Panjang bilah matanya di antara 8 1/2 inci dan sembilan inci. Lebarnya pula di antara 3/4 inci ke 1 inci. Pada bahagian tengah bilah mata Rencong diukir kalimah "Allahu Akbar" daripada perak, yang berbentuk melengkung, memanjang dari pangkal ke hujung mata rencong.
Sarungnya pula diperbuat daripada kayu teras hitam.
Hulunya samada daripada kayu atau tanduk yang bengkok, pada tapak hulunya iaitu bahagian penyambungan antara mata dan hulu dimasukkan gelang tembaga.
Pada hujung sarung kebiasaannya dihiaskan dengan cebisan gading dan tengah sarung pula dihiaskan dengan gelungan dawai tembaga.
Rencong Aceh (dipakai wanita)
Terdapat rencong aceh yang dibuat khusus untuk di gunakan oleh kaum wanita.Panjangnya semasa bersarung adalah 9 3/4 inci. Panjang matanya pula adalah 4 1/2 inci dan lebarnya 5/8 inci. Hulunya diperbuat dari tanduk, dan sarung dari kayu yang mata bahagian atasnya diukir. Rencong Aceh untuk wanita ini biasanya disembunyikan di dalam sanggul.
Badik
Kebiasaannya Badik mempunyai rekabentuk yang bermata sebelah, lurus dan tajam.
Badik yang bermata melengkung adalah jarang didapati. Begitupun terdapat juga badik yang bermata dua.
Bahagian mata badik bermula 1/3 dari hujung matanya yang tirus dan tajam. Panjangnya antara 4 5/8 ke 13 inci, dan lebarnya antara 5/8 ke 15/16 inci.
Hulu dan sarung biasanya daripada kayu, tanduk atau gading. Hanya hulu atau sarung dari kayu sahaja yang berukir bunga awan timbul dan di kemaskan dengan kepingan logam.
Terdapat perbezaan asas antara tumbuk lada dan badik. Tumbuk lada mempunyai mata yang bahagian belakang tebal dan tirus bermula dari mula ke hujung mata. Manakala badik pula mempunyai tebal yang sama kecuali bahagian hujungnya yang tirus dan tajam.
Buku Lima
Merupakan senjata kecil yang bukan untuk membunuh, tetapi hanya sebagai
'habuan' berbisa dalam pertempuran. Biasanya digunakan bagi mengalahkan lawan yang lebih handal, atau bertubuh sasa, atau yang dirasakan
`tak makan cekak'. Buku lima diasaskan dari bentuk penumbuk. Sebagai hiasan barang keras pada penumbuk, buku lima ditambah yang mana sedia maklum akan memberikan pukulan yang sangat berbisa, sekaligus menghilangkan cabaran musuh.
Buku lima diperbuat dari bahan logam besi atau tembaga dan dijadikan sebagai senjata sulit. Namun begitu ianya jarang digunakan dalam pertempuran, tetapi hanya untuk tempur satu lawan satu. Biasanya dipakai tanpa disedari lawan, dan pukulan 'curi' digunakan secara helah. Sasaranya pada muka yang mana akan memberikan kecederaan parah.
Terdapat 2 jenis buku lima iaitu jenis,`genggaman' dan jenis 'sarung'. Jenis genggaman mempunyai mata yang rata dan mudah terlepas jika genggaman tidak kuat atau musah mahir dalam kuncian. Berbanding pula dengan jenis sarung yang mempunyai mata tajam pada bahagian luar genggaman yang mana mudah dilihat oleh musuh tetapi sukar terlepas dari tangan. Ada juga penyerang yang menanam 'besi kuning' pada buku lima mereka. Menurut ceritanya sesiapa yang terkena buku lima ini akan menemui maut atau setidak-tidaknya akan muntah darah dan menanggung penderitaan. Buku lima yang ditanam besi kuning juga boleh menewaskan ilmu kebal dan menawarkan ilmu hitam.
Buku lima hanya digunakan sekali sahaja dalam pertempuran, ini mengelakkan daripada diketahui oleh lawan yang mana boleh menyebabkan dendam yang berpanjangan. Tetapi jika sekali pukul lawan pengsan, ini akan memberikan kesedaran pada musuh akan kehebatan kita. Senjata ini adalah merbahaya dan diharamkan oleh kerajaan dan boleh didakwa jika memilikinya.