Ahad, 19 Oktober 2008

Penjimat Petrol Guna "AIR"







HYDROGEN Fuel Industries (M) Sdn Bhd (HFI) menjadi syarikat tempatan pertama menghasilkan formula penjimatan bahan api sehingga 29 peratus dengan menggunakan air sebagai bahan bakar bersama-sama petrol.

Produk yang dikenali sebagai Hydrofuel itu dihasilkan selepas kajian awal dilakukan syarikat selama lima tahun iaitu dari 1997 hingga 2002 dan kemudian pada 2006, syarikat mengorak langkah mengkomersialkan produk berkenaan.

Presiden HFI, Dr Halim Ali, berkata Hydrofuel berfungsi menggunakan sistem teknologi air sebagai bahan bakar dan sesuai digunakan bagi kenderaan berkapasiti 2,000cc ke bawah. “Air dipecahkan menggunakan frekuensi tinggi dan dikongsi kegunaannya bersama-sama petrol ketika melalui injektor kereta. “Melalui sistem ini, pemilik kenderaan boleh menjimatkan penggunaan petrol sebanyak 29 peratus dan pada masa sama, membantu memelihara alam sekitar,” katanya ketika ditemui pada majlis pengenalan produk Hydrofuel dan MySmart Fuel Saver di Banting, Selangor, baru-baru ini.

Dr Halim berkata, Hydrofuel yang kini memasuki fasa terakhir akan dilancarkan di seluruh negara dalam tempoh sebulan hingga 45 hari lagi. “Ketika ini, produk ini sudah diuji pada beberapa kenderaan dan mendapati matlamat penjimatan minyak sehingga 29 peratus berjaya dicapai dengan prestasi enjin berada pada paras yang membanggakan,” katanya. Katanya, produk Hydrofuel yang dipasang pada enjin setiap kenderaan berkonsepkan mesra pengguna kerana ia mudah dipasang dan diselenggara tanpa perlu membabitkan banyak perubahan pada sistem enjin.

“Mereka hanya perlu memastikan bekalan air sentiasa mencukupi kerana apabila membeli produk ini, ia akan disertakan sekali dengan sebuah tong air berkapasiti lima liter yang boleh bertahan penggunaannya untuk perjalanan sehingga 2,000 kilometer. “Apabila air berkurangan, alat pengesan yang dipasang pada kenderaan itu akan memberi amaran supaya menambah air pada paras yang disyorkan,” katanya.

Mengenai pemasangan Hydrofuel, Dr Halim berkata, pemilik kenderaan hanya perlu meluangkan masa antara dua hingga tiga jam bagi memasang produk itu pada kenderaan masing-masing di ejen yang dilantik syarikat. “Bagi Hydrofuel, kami memberi jaminan selama dua tahun atau mencapai perjalanan sejauh 50,000 kilometer (km) atau yang mana terdahulu.

“Selain itu, produk ini perlu diselenggara apabila mencapai perjalanan sejauh 10,000km dengan alat pengesan yang akan memberi amaran kepada pemilik kenderaan apabila mencapai perjalanan sejauh 9,500km,” katanya. Selain Hydrofuel, katanya, HFI juga mengeluarkan satu lagi alat penjimatan minyak iaitu MySmart Fuel Saver yang mampu mengurangkan penggunaan minyak hingga 18 peratus.

Beliau berkata, produk Hydrofuel boleh diperoleh pada harga kira-kira RM1,300, manakala MySmart Fuel Saver boleh dibeli pada harga RM499. “Bagaimanapun, jika pemilik kenderaan mahukan penjimatan petrol hingga 50 peratus, mereka boleh mendapatkan pakej Hydrofuel bersama-sama MySmart Fuel Saver pada kadar RM2,300,” katanya.

2 ulasan:

Firdaus Al Hassan berkata...

saya ada Hydrofuel 5 sel harga RM 280 sahaja.pernah diiklankan di Harian Metro beberapa kali..bukan harga beribu2..layari http://eboostergenerator.blogspot.com/

Tanpa Nama berkata...

assalamualaikum...saya agak berminat untuk mengetahui lebih lanjut produk ini..boleh saya tahu lokasi bengkel en. dimana?