Satu berita yang ingin saya kongsi bersama adalah penggantungan kerja Setiausaha / TYDP MPAJ, Abdul Hamid Husain.Berita tersebut telah saya baca di dalam akhbar The Star 30 Oktober dan ianya susulan perobohan sebuah kuil Hindu di Ampang.
Pengumuman penggantungan itu telah dibuat oleh Exco Kerajaan Tempatan & Penyelidikan, YB Ronnie Liew dan menurutnya ianya adalah keputusan Exco Selangor.Walau bagaimanapun, sepanjang ingatan saya tidak ada mesyuarat Exco atau perbincangan Exco yang mengambil keputusan untuk menggantung Hamid.
Sepatutnya perkara sepenting ini dibuat secara kolektif oleh Exco dan bukan orang-orang perseorangan. Lebih-lebih lagi saya tidak ingat pernah ditanya tentang hal ini walaupun DUN saya adalah di bawah bidangkuasa MPAJ.
Selain dari itu, saya juga berpendapat kakitangan-kakitangan kerajaan Negeri tidak seharusnya dipersalahkan jika mereka telah menjalankan tugas tidak bertentangan dengan undang-undang tetapi tidak tepat dari segi politik.
Mereka bukan orang politik!Saya bimbang tindakan ke atas Hamid akan melemahkan semangat kakitangan kerajaan Negeri. Mereka sekarang berada di dalam kedudukan yang amat menyulitkan.
Bolehkah mereka bertindak ke atas perkara-perkara yang bertentangan dengan undang-undang atau mereka perlu "tutup sebelah mata" kerana takut dimarahi oleh orang-orang politik?Saya amat bimbang jika kita mula "menutup sebelah mata" maka seolah-olah tidak ada lagi undang-undang di dalam masyarakat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan